LAZIMNYA bagi bakal-bakal pengantin, menjadi raja sehari
adalah suatu hari yang penuh bermakna dalam hidup mereka dan sering
ditunggu-tunggu oleh setiap orang.
Biasanya untuk menyambut hari yang penuh bersejarah itu,
pelbagai persiapan penting bagi seseorang pengantin seperti pelamin, pakaian,
perhiasaan, bunga telur dan serba kelengkapan perlu disediakan lebih awal lagi.
Dalam hal ini, mak andam juga tidak ketinggalan turut
memainkan peranan penting bagi bakal pengantin kerana menjadi raja sehari tidak
akan lengkap tanpa kehadiran mereka.
Sejak zaman tradisi lagi, mak andam dianggap sebagai orang
yang mahir dalam mencantikkan dan menaikkan 'seri' wajah seseorang pengantin.
Sehubungan itu baru-baru ini, Ally and Catt Academy telah
menganjurkan satu kursus mengandam bertempat di Hotel Grand Continental Alor
Setar, Kedah bertujuan mencungkil bakat-bakat mak andam di samping menggalakkan
kaum wanita yang berminat dalam bidang tersebut menyertai program khas itu.
Kursus yang berlangsung selama empat minggu berturut-turut
itu berjaya menampilkan bakal-bakal mak andam yang berpotensi untuk mengorak
langkah dengan lebih jauh lagi dalam dunia andaman di negara ini.
Pengajar kursus tersebut, Catt berkata, melalui program yang
dijalankan ini, mereka cuba mencungkil bakat baru dan menampilkan mak andam
yang berbeza dari zaman dahulu.
"Mak andam zaman moden kini mempunyai penampilan yang
semulajadi dari segi mekap, pakaian dan barang-barang kemas sebagai hiasan,''
katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kursus tersebut lebih bersifat moden dengan
menggunakan mekap berdasarkan warna kulit yang bersesuaian dan menggunakan
beberapa pendekatan yang terbaru.
Catt juga berkata, kursus ini dibahagikan kepada tiga
kategori utama iaitu pakaian, aksesori dan kreativiti yang akan diadakan di
seluruh Malaysia termasuk Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Salah seorang daripada peserta kursus tersebut Wan Azizah
Ahmad, 36, dari Pulau Pinang berkata, program ini memberi pendedahan yang lebih
luas kepadanya untuk mengetahui teknik-teknik terbaru tentang andaman.
"Misalnya, saya dapat mengetahui cara andaman yang
sangat ringkas dan cepat terutamanya untuk majlis perkahwinan dan majlis-majlis
rasmi," katanya.
Sebelum ini dia juga pernah mengikuti pelbagai kursus
andaman di dalam negeri dan luar negara termasuklah Indonesia dan Brunei.
"Setiap mak andam perlu mengikuti aliran semasa seperti
juga dunia fesyen dan sering berubah agar sentuhan mereka sentiasa menepati
cita rasa terkini,'' katanya yang turut memiliki beberapa jenis perniagaan termasuklah
salun kecantikan dan restoran makanan.
"Setiap tenaga pengajar itu mempunyai teknik yang
berbeza dalam segala segi, pendek kata setiap pengajar mempunyai caranya yang
tersendiri,'' katanya.
Sementara itu seorang lagi peserta Salma Shaari, 32, dari Taman
Nuri berkata, minatnya yang terlalu mendalam dalam bidang andaman menyebabkan
dia menyertai kursus tersebut untuk menambahkan lagi pengetahuan.
"Dengan menyertai kursus ini, saya rasa lebih yakin
untuk maju dan mengembangkan lagi bidang andaman di negeri ini,'' katanya yang
kini dalam persediaan untuk membuka sebuah salun di Jalan Tun Razak di sini.
Seorang lagi peserta Khaizurina Khalid, 26, berkata, kursus
tersebut mendedahkannya tentang cara mengandam dengan menggunakan teknik
terbaru yang berbeza dari zaman dulu.
"Kita diajar tentang cara untuk menaikkan seri
pengantin dengan menggunakan mekap yang sesuai dengan warna kulit dan mata,''
katanya yang juga mempunyai salun kecantikannya sendiri.
Sebelum itu katanya, dia menjalankan perniagaannya dengan
bergerak dari rumah ke rumah untuk mendapatkan pelanggan sehinggalah dia
membuka perniagaannya sendiri di Jalan Kota di sini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz2HqWjcjJA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment